Adab dalam Islam: Cabaran komunikasi digital melalui aplikasi WhatsApp dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
Keywords:
Adab Islam, Komunikasi Digital, WhatsAppAbstract
Memelihara adab dan kesopanan merupakan amalan yang dituntut di dalam Islam. Dalam aspek pembelajaran, adab seseorang pelajar perlu dijaga agar suasana keilmuan dapat dicapai dengan baik. Seiring abad ke-21, penggunaan digital adalah termasuk keperluan utama di dalam kehidupan bagi setiap individu masa kini. Oleh itu, kajian ini bertujuan menganalisis cabaran mahasiswa memelihara adab Islam ketika menggunakan aplikasi Whatsapp serta panduan bagi menangani isu kurang adab di media sosial dalam konteks pembelajaran dilaksanakan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu dengan cara analisis kandungan daripada bahan terbitan artikel jurnal, laporan akhbar serta laman sesawang sebagai sumber utama. Hasil kajian mendapati antara cabaran memelihara adab Islam dalam komunikasi digital yang berlaku dalam kalangan mahasiswa adalah melibatkan penggunaan perkataan yang tidak formal, kurang menjaga privasi dan waktu serta tidak memberi respon yang sewajarnya ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Oleh itu, panduan menjaga adab bagi mahasiswa ketika proses pembelajaran wajar diberi perhatian agar generasi kini dapat membentuk akhlak yang mulia.
						
							









