TikTok Dan Trend Mistik: Penyelewengan Al-Quran Dalam Amalan Tilik Tarikh Lahir
Keywords:
New Age Movement, Penyelewengan Agama, Sinkretisme Agama, TikTok, Tilik Tarikh LahirAbstract
Fenomena New Age Movement (NAM) kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat global melalui medium digital, khususnya media sosial seperti TikTok. Di Malaysia, manifestasi gerakan ini tampil dalam bentuk yang lebih terselindung, antaranya melalui amalan tilik tarikh lahir yang didakwa bersandarkan kepada ayat-ayat Al-Quran. Kajian ini bertujuan untuk meneliti tiga aspek utama: pertama, memahami asas ideologi dan latar falsafah gerakan NAM sebagai suatu bentuk spiritualiti pascamoden; kedua, menganalisis isu penyelewengan Al-Quran dalam konteks amalan tilik tarikh lahir yang semakin tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan; dan ketiga, mencadangkan garis panduan digital yang komprehensif kepada pengguna agar dapat menapis dan menilai kandungan yang berunsur mistik dan menyimpang daripada syariah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan serta tinjauan literatur terhadap kandungan TikTok, dokumen keagamaan dan wacana akademik berkaitan. Hasil kajian menunjukkan bahawa wujudnya elemen sinkretisme dan manipulasi agama yang dilindungi di sebalik naratif motivasi serta "kerohanian Islamik", sekali gus membuka ruang kepada fahaman batil dan kerosakan akidah. Kajian ini menggariskan keperluan mendesak untuk membangunkan kerangka literasi media Islam yang boleh memperkasakan pengguna Muslim dalam mendepani gelombang spiritualiti digital yang mengelirukan.










