Pelaksanaan Kaedah Heutagogi Dalam Pendidikan Islam Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Keywords:
Heutagogi, Pendidikan Islam, Institusi Pengajian Tinggi, Pembelajaran Kendiri, Strategi Pengajaran, Kemahiran Reflektif, Pendidikan Abad ke-21Abstract
Pelaksanaan kaedah heutagogi dalam pembelajaran Pendidikan Islam sejajar dengan aspirasi pendidikan holistik di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan tuntutan abad ke-21. Heutagogi merupakan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar yang menekankan autonomi, fleksibiliti serta keupayaan reflektif dalam mengurus pembelajaran kendiri. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya masih berdepan cabaran utama seperti tahap motivasi pelajar yang rendah, kekurangan modul pengajaran yang sesuai serta ketiadaan bimbingan berstruktur dan maklum balas berterusan daripada pensyarah. Kajian ini dilaksanakan berasaskan tiga objektif utama iaitu mengenal pasti konsep dan elemen heutagogi dalam konteks Pendidikan Islam, menganalisis kelebihan heutagogi dalam meningkatkan keupayaan pembelajaran kendiri pelajar, serta mengenal pasti cabaran pelaksanaannya dalam pengajaran Pendidikan Islam di IPT. Dari segi metodologi, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen berkaitan pelaksanaan heutagogi dalam Pendidikan Islam. Hasil kajian menunjukkan bahawa heutagogi berupaya meningkatkan kemahiran reflektif, menggalakkan kreativiti, serta memperkukuh keupayaan membuat keputusan pelajar. Selain itu, pelajar turut menunjukkan kemajuan dalam merancang, melaksana dan menilai pembelajaran secara lebih bebas dan bertanggungjawab. Dapatan ini memberi implikasi penting terhadap pembangunan kurikulum, reka bentuk pengajaran serta strategi sokongan institusi agar pelaksanaan heutagogi dapat direalisasikan secara menyeluruh dan berimpak tinggi. Kesimpulannya, kajian ini menegaskan kepentingan memperkayakan pedagogi Pendidikan Islam melalui penekanan terhadap pembelajaran kendiri yang holistik. Justeru, pelaksanaan kaedah heutagogi di peringkat pendidikan tinggi wajar diberi perhatian bagi melahirkan pelajar abad ke-21 yang berdaya saing, berfikiran kritis serta bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka.










