Pemerkasaan Pengajian Hadis Di Pahang Menurut Perspektif Ilmuwan Hadis
Keywords:
Pemerkasaan, Pengajian Hadis, Ilmuwan Hadis, Negeri PahangAbstract
Ilmu hadis diperkenalkan dalam masyarakat bertujuan mendekatkan mereka dengan sumber autentik Islam yang kedua selepas al-Quran. Pengajian hadis, secara tidak langsung akan membawa kepada penguasaan ilmu ini dalam kalangan masyarakat. Namun, realitinya perkembangan pengajian hadis di masjid dan surau agak perlahan jika dibandingkan dengan bidang pengajian lain. Isu ini jelas berdasarkan kuliah pengajian di surau dan masjid serta institusi pengajian yang wujud lebih tertumpu kepada bidang lain selain ilmu hadis. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti cadangan dan langkah ke arah pemerkasaan pengajian hadis di negeri Pahang. Selain, untuk menganalisis cabaran dan kekangan pengajiannya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan deskriptif. Instrumen utama kajian pula menggunakan temubual semi berstruktur dengan empat (4) orang tokoh hadis di Pahang sebagai informan. Mereka dipilih secara persampelan bertujuan kerana berpengalaman luas dalam bidang hadis yang membolehkan data berkaitan diperoleh untuk menjawab persoalan kajian. Dapatan kajian mengemukakan sembilan (9) cadangan utama bagi memperkasakan perkembangan pengajian di negeri Pahang, iaitu menyediakan pengajian hadis secara talaqqi dan bersanad, meningkatkan keilmuwan dan kemahiran tenaga pengajar, memilih institusi pengajian hadis yang bersesuaian, melaksanakan kaedah pengajian konvensional, memberi insentif khas, menawarkan tajaan bagi pengajian bidang hadis, mendapat sokongan pihak berautoriti, menganjurkan program berkaitan hadis dan menubuhkan maahad tahfiz hadis. Hasil kajian dilihat dapat menyumbang kepada pihak berautoriti bagi melaksanakan perancangan lebih efektif dari aspek peruntukan kewangan, infrastruktur, fasiliti dan tenaga penggerak ke arah pemerkasaan ilmu hadis pada masa hadapan.










