Persepsi Pelajar Perempuan Muslimah, Fakulti Senibina Perancangan Dan Ukur, Universiti Teknologi MARA Shah Alam Terhadap Produk Kosmetik Halal: Kefahaman Dan Kesedaran
Keywords:
Persepsi, kosmetik, halal, kefahaman, kesedaranAbstract
Penggunaan produk kosmetik dalam kalangan wanita termasuk pelajar perempuan Muslimah di institusi pengajian tinggi merupakan amalan biasa pada masa kini. Sementara, peningkatan kesedaran pengguna Muslim terhadap produk kosmetik patuh syariah memberi impak positif terhadap pertumbuhan pesat industri kosmetik halal. Bagaimanapun, tahap kefahaman dan kesedaran dalam kalangan pengguna muda, khususnya pelajar universiti masih memerlukan kajian yang lebih mendalam. Ini kerana faktor usia yang masih muda dan kurang ilmu pengetahuan, mendorong mereka mengikut pilihan kawan, mudah terpengaruh dengan trend semasa serta lebih mementingkan keseronokan peribadi. Kewujudan produk kosmetik tidak halal pula banyak di pasaran dan mudah didapati. Justeru, objektif kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti persepsi pelajar perempuan Muslimah dari sudut kefahaman serta mengkaji kesedaran mereka terhadap produk kosmetik halal. Kajian dilakukan dalam bentuk kuantitatif dan menggunakan metod tinjauan melalui soal selidik yang diedarkan kepada sampel pelajar perempuan di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Instrumen kajian dibangunkan berdasarkan konstruk kefahaman terhadap konsep halal dalam kosmetik dan kesedaran tentang kepentingan penggunaan produk kosmetik halal. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan perisian SPSS bagi mendapatkan statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti responden mempunyai tahap kefahaman asas mengenai produk kosmetik halal. Namun, dari segi kesedaran tentang kepentingan menggunakan produk kosmetik halal, kebanyakan responden berada di tahap yang sederhana. Faktor harga, jenama dan ketersediaan produk menjadi antara aspek pertimbangan utama dalam pemilihan produk. Kajian ini signifikan terutamanya kepada pengguna agar lebih cakna tentang persoalan halal dalam kosmetik dan pengusaha industri kosmetik bagi merangka strategi pemasaran produk halal secara efektif. Selain, menjadi pendorong kepada institusi pendidikan untuk meningkatkan program kesedaran tentang kepentingan penggunaan produk halal dalam kalangan pelajar.










