Analisis Bibliometrik Terhadap Trend dan Arah Tuju Penerbitan Pengurusan Aset Islam dalam Pangkalan Data Scopus.
Keywords:
Pengurusan aset Islam, analisis bibliometrik, pangkalan data ScopusAbstract
Penelitian terhadap pengurusan aset Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan ahli akademik dan juga pihak industri. Hal ini selari dengan perkembangan penggunaan instrumen kewangan patuh syariah yang semakin meluas dan melebar dalam kalangan msyarakat tempatan dan luar negara. Kertas kerja ini bertujuan menjalankan analisis bibliometrik terhadap penerbitan yang berkait dengan pengurusan aset Islam yang terdapat dalam pangkalan data Scopus dari tahun 2003 hingga 2024. Reka bentuk, kaedah dan pendekatan yang digunakan dalam penghasilan kajian ini ialah melalui analisis bibliometrik dengan memberikan tumpuan terhadap trend penerbitan, jenis penerbitan, jurnal prolifik dan pemetaan kolaborasi pengarang. Data tersebut dianalisis menggunakan kaedah analisis deskriptif dan digambarkan melalui rajah bibliometrik menggunakan perisian VOSviewer dan Bibliometrik R. Hasil kajian menunjukkan peningkatan dalam jumlah penerbitan selepas tahun 2018, yang dilihat mencerminkan perubahan dalam peraturan dan peranan pengurusan aset Islam dalam rangka kerja kewangan secara umum. Malaysia dan Indonesia menunjukkan sumbangan berterusan daripada para penyelidik dalam bidang ini. Topik yang sering dibincangkan termasuk kawalan risiko, kecenderungan pelabur, perkembangan teknologi kewangan (fintech), dan strategi yang memberi tumpuan kepada kelestarian dalam pengurusan aset Islam. Kajian ini turut mengenal pasti penggunaan teknologi digital baharu seperti rantaian blok (blockchain) dan kecerdasan buatan (AI) yang masih terhad dalam sistem pengurusan aset patuh Syariah. Penemuan ini berpotensi memberikan manfaat kepada khalayak akademik, kewangan dan penggubal dasar. Memandangkan pengurusan aset Islam semakin dikaitkan dengan teknologi moden dan pelaburan berasaskan nilai, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk penyelidikan merentas bidang yang menghubungkan kewangan patuh Syariah dengan inovasi semasa. Kajian masa hadapan boleh mempertimbangkan perbandingan antara model pengurusan aset Islam dan konvensional, menilai respons terhadap gangguan ekonomi, serta mengenal pasti strategi untuk mengintegrasikan amalan lestari dalam konteks pelaburan Islam.










