Ekspresi dosa-dosa besar dalam al-quran dan hadith: satu penelitian terhadap isu-isu di era digitalisasi
Keywords:
al-Quran, hadith, dosa besar, era digital, isu sosial, etika Islam.Abstract
Era digitalisasi telah membawa perubahan besar dalam landskap sosial, budaya dan komunikasi masyarakat. Kajian ini menumpukan kepada analisis terhadap konsep dosa-dosa besar (al-kabā’ir) seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadith serta bagaimana ekspresi terhadap dosa-dosa ini memberi pengajaran yang jelas untuk diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Objektif utama kajian ini ialah untuk memahami bagaimana pendekatan wahyu melalui ekpresinya terhadap dosa besar sangat memberi impak yang signifikan terhadap realiti kerosakan nilai-nilai kemanusiaan khususnya di era digital hari ini Pendekatan kualitatif berbentuk analisis teks digunakan untuk meneliti ayat-ayat al-Quran dan hadith berkaitan dosa-dosa besar, diikuti dengan pendekatan kajian kes terhadap fenomena sosial digital syirik dan khurafat, fitnah, penipuan “scammers” dan lain-lain. Dapatan menunjukkan bahawa meskipun bentuk lahiriah perbuatan dosa mengalami transformasi melalui medium digital, prinsip dan nilai yang dilanggar tetap berakar dalam kerangka dosa-dosa besar yang telah dihuraikan oleh syarak. Kajian ini turut menekankan peranan penting ulama, pendidik Islam, dan institusi keagamaan dalam mendepani cabaran baru ini dengan pendekatan yang responsif terhadap teknologi. Penelitian ini juga merumuskan strategi menangani dosa moden, agar penyampaian mesej agama tetap berakar pada wahyu yang relevan dengan cabaran kontemporari. Kesimpulannya, al-Quran dan hadith bukan sahaja kekal relevan sebagai sumber etika dan panduan hidup, bahkan memiliki kapasiti adaptif untuk menanggapi pelbagai bentuk pelanggaran moral yang muncul akibat perkembangan digital. Kajian ini membuka ruang untuk dialog lanjut mengenai penaakulan semula impak dosa dalam kerangka digital serta keperluan pembangunan fiqh digital yang mantap dan progresif.










