Konseptualisasi swadidik dalam pendidikan era IR4.0: Satu sorotan awal menurut perspektif Islam.
Keywords:
swadidik, Revolusi Industri 4.0, pendidikan Islam, , pembelajaran kendiri, pembelajaran sepanjang hayat, falsafah pendidikanAbstract
Makalah ini menelusuri sorotan awal terhadap konsep swadidik (autodidaktik) dalam konteks pendidikan era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menurut perspektif Islam. Perubahan landskap pendidikan global akibat kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan, automasi dan pembelajaran digital telah menuntut peralihan pendekatan pendidikan; daripada model pengajaran tradisional kepada pendekatan yang lebih fleksibel, kendiri dan berpusatkan pelajar. Dalam konteks ini, konsep swadidik dilihat signifikan sebagai satu keperluan untuk mempersiapkan individu menjadi pelajar sepanjang hayat yang mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran yang dinamik dan tidak menentu. Bagi memastikan kajian konseptual ini lebih sistematik, kaedah tinjauan literatur bersepadu digunakan dengan mengumpulkan dan menganalisis sumber klasik (al-Quran, Hadis, karya ilmuwan Islam) dan sumber data kontemporari berkaitan swadidik, nilai Islam, dan pendidikan IR4.0. Analisis tematik kemudiannya dijalankan untuk mengenal pasti tema utama yang membentuk suatu kerangka konseptual. Dihujahkan bahawa nilai-nilai seperti ijtihad (penaakulan mendalam), tadabbur (perenungan mendalam) dan tafaqquh (pemahaman mendalam) dalam tradisi Islam memperkukuh konsep swadidik sebagai suatu kerangka epistemologi dan etika pembelajaran. Kajian ini turut menghubungkan nilai-nilai tersebut dengan keperluan pendidikan dalam era IR4.0, termasuk kemahiran insaniah, keupayaan mengakses dan menilai maklumat secara kritis serta adaptasi terhadap teknologi baharu. Makalah ini juga menegaskan bahawa pendidikan Islam harus mengintegrasikan semula semangat swadidik dalam kurikulum dan pedagogi agar dapat membentuk pelajar yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga celik nilai, mandiri, dan bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran mereka sendiri.










