Konsep qaulan dalam Al-Quran: Analisis tafsir tematik dan hubungannya dengan komunikasi digital
Keywords:
Tafsir Tematik, qaulan Quran, komunikasi digital, media sosialAbstract
Era digital telah merombak landskap komunikasi manusia dengan drastik, menjadikan media sosial sebagai medium utama penyebaran maklumat, ekspresi diri dan wacana awam. Namun, keterbukaan ini turut mencetuskan krisis komunikasi seperti penyebaran kebencian, fitnah dan tuduhan melulu sehingga menghakis adab serta menimbulkan konflik dalam interaksi maya. Walaupun terdapat kajian terdahulu mengenai konsep qaulan dalam al-Quran, kebanyakannya hanya menumpukan kepada beberapa bentuk tertentu dan kurang menghubungkannya secara menyeluruh dengan realiti komunikasi digital semasa. Justeru, kajian ini bertujuan meneliti lapan bentuk qaulan yang dirakamkan dalam al-Quran iaitu qaulan thaqīla, layyina, maysūra, ma‘rūfa, karīma, sadīdan, ‘azīman dan balīgha melalui pendekatan tafsir tematik dengan merujuk kepada karya tafsir berautoriti. Objektif kajian adalah untuk menganalisis prinsip komunikasi yang terkandung dalam setiap bentuk qaulan serta mengaplikasikannya dalam konteks komunikasi digital, seterusnya membina satu kerangka komunikasi Islam berteraskan al-Quran. Hasil analisis mendapati bahawa setiap bentuk qaulan menawarkan panduan komunikasi yang seimbang antara mesej, emosi, adab dan pergaulan, sekali gus relevan untuk menangani cabaran komunikasi digital. Kajian ini menyumbang kepada literasi komunikasi Islam dengan memperlihatkan tafsir tematik bukan sahaja sebagai pendekatan akademik terhadap teks, tetapi juga usaha kontekstualisasi al-Quran dalam membimbing umat menghadapi realiti digital masa kini.










