Cabaran dan peluang smart contracts di Malaysia: Perspektif perundangan dan teknologi
Keywords:
Kontrak Pintar, Rantaian Blok, Mata Wang Digital, Mata Wang Kripto, Undang-UndangAbstract
Kontrak pintar menggunakan beberapa teknologi kontemporari seperti rantaian blok (blockchain) dan mata wang digital. Oleh itu, ia membawa banyak kelebihan kepada pengguna kerana sifat teknologinya seperti ketelusan, kepantasan, ketiadaan campur tangan pihak ketiga, dan desentralisasi. Walaupun banyak kajian telah dijalankan mengenai kontrak pintar, pada masa ini masih belum wujud penyelesaian konkrit untuk menangani pelbagai kelompongan dalam undang-undang berkaitan kontrak pintar. Dalam kajian ini, data sekunder telah dikumpulkan melalui analisis laman sesawang akademik dan pangkalan data seperti Google Scholar, termasuk organisasi kerajaan dan bukan kerajaan dari pelbagai negara. Di samping itu, penyelidikan undang-undang doktrinal dengan menggunakan pendekatan analisis perbandingan turut diaplikasikan. Undang-undang di beberapa negara termasuk (tetapi tidak terhad kepada) Malaysia, Amerika Syarikat, Malta, Switzerland, dan Dubai telah diperhatikan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa isu mengenai kesahihan kontrak pintar, kapasiti pihak yang terlibat, serta kesahan dan kepastian Oracle merupakan isu undang-undang utama berhubung kontrak pintar. Kertas ini menyumbang kepada pemahaman kita tentang jurang yang wujud dalam undang-undang Malaysia berkaitan kontrak pintar. Selain itu, ia memperkukuh korpus pengetahuan dalam bidang ini, sekali gus membantu penggubal undang-undang dan pembuat dasar dalam membangunkan atau meminda undang-undang baharu yang sesuai untuk kontrak pintar.










