Wakaf tunai instrumen alternatif dalam melestarikan urus tadbir sekolah agama rakyat (SAR)
Keywords:
Wakaf Tunai, Sekolah Agama Rakyat, Kelestarian kewangan, Urus tadbirAbstract
Sekolah Agama Rakyat (SAR) antara institusi pendidikan beraliran agama yang terdapat di Malaysia. Kebanyakannya ditubuhkan melalui pembiayaan persendirian. Hal ini mengakibatkan SAR sering berhadapan dengan kekangan kewangan dalam urus tadbir sekolah. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan meneroka strategi yang boleh dilaksanakan oleh pentadbir SAR bagi mengurangkan bebanan kewangan melalui pelaksanaan instrumen wakat tunai. Kajian ini bermatlamat mengenal pasti pelaksanaan wakaf tunai serta menganalisis keberkesanannya dalam melestarikan urus tadbir SAR. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Pengumpulan data primer dilakukan secara temu bual bersemuka menggunakan instrumen soalan separa berstruktur terhadap tiga orang responden yang terdiri daripada pengerusi dan pengetua di tiga buah SAR yang terpilih di negeri Pahang. Kajian ini juga turut menggunakan sumber sekunder seperti jurnal majalah, artikel, buku dan sebagainya. Data kemudiannya dianalisis secara kaedah analisis kandungan. Dapatan kajian mendapati bahawa ketiga-tiga buah SAR tersebut telah mengaplikasikan wakaf tunai sebagai salah satu sumber kewangan dalam pengurusan sekolah. Sumbangan wakaf tunai diperoleh daripada pelbagai pihak sama ada individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hasil sumbangan ini telah dimanfaatkan untuk membina bangunan sekolah yang baru, surau serta membaik pulih bangunan sedia ada. Kajian dapat dijadikam panduan serta rujukan kepada SAR di seluruh Malaysia serta institusi pendidikan dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan.










