Tinjauan awal ke atas penghargaan kendiri dalam kalangan mualaf
Keywords:
Cabaran, penghargaan kendiri, mualaf, tinjauan awal, IslamAbstract
Mualaf merupakan individu yang menukar agama asal kepada Islam atas pelbagai faktor. Walau bagaimanapun, mereka sering berdepan dengan cabaran seperti penolakan keluarga dan stigma masyarakat yang boleh menjejaskan penghargaan kendiri mualaf serta kesejahteraan mental. Namun, sehingga kini kajian berkenaan penghargaan kendiri mualaf di Malaysia masih sangat terhad. Justeru, kajian ini dijalankan bagi meninjau tahap penghargaan kendiri mualaf serta meneliti hubungan antara tahap pendidikan dan status perkahwinan dengan tahap penghargaan kendiri. Kajian ini menggunakan reka bentuk deskriptif dan korelasi, menggunakan dua set instrumen utama iaitu: (1) maklumat demografi; dan (2) Rosenberg Self-Esteem Scale (RSES). Seramai 32 daripada 42 orang mualaf di Kuala Nerus yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terlibat sebagai responden. Dapatan kajian menunjukkan majoriti mualaf mempunyai tahap penghargaan kendiri yang sederhana, diikuti tinggi dan rendah. Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara tahap pendidikan dan status perkahwinan dengan tahap penghargaan kendiri mualaf. Kajian ini boleh menjadi asas dalam merangka intervensi yang menyokong pemerkasaan komuniti ini, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG-3) ke arah kesihatan dan kesejahteraan yang baik.










