Integrasi instrumen zakat dan wakaf (IIZAF) dalam menyokong kemampanan penternakan ayam di Kelantan: Satu sorotan literatur sistematik
Keywords:
Zakat dan Wakaf, Penternakan Ayam, Sekuriti Makanan, Kemampanan, Integrasi Kewangan Sosial IslamAbstract
Penternakan ayam merupakan industri yang terbesar menyumbang kepada ternakan negara iaitu daging ayam sebanyak 52.2% diikuti telur ayam/itik sebanyak 26.3%. Jumlah keseluruhan pengeluaran bernilai RM 12, 808.7 juta pada tahun 2023. Ia merupakan sektor penting dalam menjamin sekuriti makanan negara, khususnya sebagai sumber utama protein rakyat Malaysia. Walaupun Tahap Sara Diri (SSL) ayam di Malaysia mencapai tahap sebanyak 90.2% pada tahun 2023, namun terdapat negeri seperti Kelantan yang mengalami masalah kekurangan bekalan ayam disebabkan pelbagai cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, ketidaktentuan harga, dan kebergantungan kepada bekalan luar telah menjejaskan kemampanan sektor ini. Dalam konteks ini, instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat dan wakaf dilihat berpotensi untuk dimobilisasi sebagai alternatif pembiayaan dan pembangunan ekonomi asnaf. Namun, kajian semasa masih kurang memberi tumpuan kepada integrasi kedua-dua instrumen ini dalam sektor penternakan ayam secara holistik. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti instrumen zakat dan wakaf dalam pembangunan pertanian dan penternakan, serta menganalisis potensi integrasi kedua-duanya dalam membangunkan model penternakan ayam yang mampan. Kajian ini menggunakan pendekatan Systematic Literature Review (SLR) berpandukan protokol ROSES. Carian artikel dilakukan dalam pangkalan data Scopus dan Web of Science (WOS) merangkumi tempoh 2022 hingga 2025. Sebanyak 35 artikel telah dipilih melalui proses saringan dan dianalisis secara tematik berdasarkan pendekatan Braun & Clarke. Dapatan menunjukkan bahawa terdapat tiga tema utama iaitu: i. instrumen zakat yang mengandungi lapan subtema iaitu modal, latihan, kelengkapan, pembiayaan, pemantauan, kerjasama strategik dengan pihak pemegang taruh, tadbir urus dan asnaf. Manakala tema kedua iaitu instrumen wakaf mengandungi lima tema iaitu: wakaf tanah, wakaf tunai, pembiayaan insfrastruktur, pembiayaan modal dan wakaf pendanaan awam. Manakala tema ketiga ialah integrasi instrumen zakat dan wakaf. Namun, tiada model yang benar-benar mengintegrasikan zakat dan wakaf secara sistematik dalam konteks penternakan ayam. Kajian ini mencadangkan keperluan membangunkan model integratif zakat dan wakaf yang lebih terarah bagi menyokong kelestarian ekonomi asnaf dan pengeluaran makanan halal di Malaysia. Implikasi kajian ini memberi sumbangan kepada penggubalan dasar serta inovasi model kewangan Islam dalam sektor pertanian berasaskan komuniti.










