Sinkretisme agama melalui upacara Ma’nene dalam kalangan komuniti Toraja Utara di Kampung Lalikan, Sulawesi Selatan, Indonesia
Keywords:
Upacara, Warisan Budaya, Sistem Kepercayaan, Sinkretisme AgamaAbstract
Upacara Ma’nene adalah warisan budaya suku Toraja Utara di Indonesia yang wajib dilaksanakan sebagai tanda simbolik kasih sayang, penghormatan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. Upacara Ma’nene ini terkait dengan tradisi warisan sistem kepercayaan lama dari nenek moyang suku Toraja yang disebut Aluk Todolo. Tradisi ini mengandungi banyak filosofi berkaitan kepercayaan, kebanggaan, tradisi kuno dan peradaban yang semuanya tersirat dalam tradisi unik ini. Namun demikian, pada masa kini wujud fahaman sinkretisme agama antara kepercayaan tradisional suku Toraja (upacara Ma’nene) dengan kepercayaan agama Kristian yang menjadi topik perbincangan dalam artikel ini. Metodologi kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Kaedah kutipan data adalah melalui temu bual mendalam dengan enam belas orang informan utama; kaedah pemerhatian turut serta diaplikasi sewaktu penyelidik berada di lokasi upacara ini berlangsung; sumber data sekunder seperti artikel jurnal dan tesis digunakan bagi menyokong kesahan maklumat data kualitatif. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa upacara tradisi Ma’nene ini masih lagi dipelihara meskipun pada masa kini telah menjadi produk daya tarikan pelancong melalui sinkretisme agama. Sinkretisme agama yang diamalkan oleh masyarakat Toraja Utara telah mampu mempertahankan upacara tradisi Ma’nene ini sebagai sebuah warisan budaya yang dapat dipertahankan hingga kini agar ia dapat menjadi tatapan dan diwariskan kepada generasi pada masa yang akan datang secara berkelanjutan.