Korelasi antara persepsi pelajar terhadap ujian atas talian dengan markah penilaian berterusan pelajar
Keywords:
Korelasi, Persepsi, Ujian Atas Talian, Markah Penilaian Berterusan, Bahasa ArabAbstract
Perkembangan teknologi digital telah membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan, terutamanya dalam kaedah penilaian akademik. Penilaian atas talian kini menjadi satu pilihan utama dalam menilai pencapaian pelajar dikebanyakan institusi pendidikan tinggi, begitu juga dengan subjek bahasa Arab sebagai bahasa ketiga di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Terdapat dua ujian yang dilaksanakan secara atas talian iaitu ujian mendengar dan ujian bertulis. Justeru kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenaplpasti persepsi dan pencapaian pelajar secara atas talian, seterusnya mengkaji korelasi antara min persepsi pelajar tersebut dengan min pencapaian markah penilaian berterusan pelajar. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuantitatif dengan melibatkan soal selidik sebagai instrumen utama bagi mengumpul data. Sampel kajian terdiri daripada 119 orang pelajar dari pelbagai program pengajian yang mengambil kursus bahasa Arab sebagai bahasa ketiga di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Data yang diperoleh dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan ujian korelasi Pearson. Dapatan Kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar mempunyai persepsi yang positif terhadap ujian atas talian. Dari segi pencapaian, 70.5% pelajar memperoleh gred A dan B, menandakan tahap penguasaan yang baik. Ujian korelasi Spearman-Rho mendapati terdapat hubungan yang signifikan tetapi lemah antara persepsi pelajar dan pencapaian akhir mereka (r = 0.161, p < 0.040). Hanya 2.1% daripada variasi pencapaian dapat dijelaskan oleh persepsi terhadap ujian atas talian. Kajian ini mencadangkan agar faktor lain seperti motivasi, strategi belajar, dan kemahiran teknikal turut diambil kira dalam meningkatkan keberkesanan pentaksiran atas talian.










