Pinsip-prinsip pengurusan kewangan berhemah menurut perspektif Islam: ibrah daripada surah Yusuf
Keywords:
Ibrah Surah Yusuf, pengurusan kewangan Islam, perancangan ekonomi, tadbir urus kewangan, strategi kewangan berhemahAbstract
Pengurusan kewangan yang berhemah merupakan elemen penting dalam menjamin kestabilan ekonomi mikro dan juga makro. Dalam konteks Islam, prinsip pengurusan kewangan bukan sahaja bersifat material, bahkan turut berpaksikan nilai spiritual, etika dan kebertanggungjawaban sosial. Surah Yusuf, salah satu surah dalam al-Qur’an yang sarat dengan kisah penuh ibrah, mengandungi panduan praktikal mengenai perancangan ekonomi jangka panjang, strategi pengurusan sumber ketika krisis serta kebijaksanaan dalam pengagihan hasil. Artikel ini bertujuan untuk menelusuri prinsip pengurusan kewangan berhemah yang boleh digali daripada kisah Nabi Yusuf A.S. ketika mentadbir perbendaharaan Mesir. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis dokumen yang melibatkan teks al-Qur’an, tafsir-tafsir muktabar serta karya-karya kontemporari berkaitan pengurusan kewangan dan ekonomi Islam. Hasil analisis mendapati prinsip utama seperti penilaian maklumat kewangan secara berhemah, penyimpanan hasil ketika musim subur, kawalan perbelanjaan berasaskan keperluan serta kecekapan dalam pengagihan sumber ketika darurat, merupakan asas penting kepada tadbir urus kewangan bersepadu. Kajian ini menyimpulkan bahawa pendekatan Nabi Yusuf A.S. menggabungkan elemen spiritual, intelektual dan pentadbiran yang seimbang wajar dijadikan model dalam pengurusan kewangan Islam kontemporari baik pada peringkat individu mahupun institusi.










