Sejarah perkembangan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di Malaysia: Kajian di negeri Perak
Keywords:
Pendidikan Islam, pedagogi, kurikulum, pondok, Sekolah Agama RakyatAbstract
Dalam kajian ini penulis akan menjelaskan sejarah perkembangan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) di Malaysia secara umum dan di negeri Perak secara khusus. Ia bertujuan untuk melihat perubahan dan kemajuan SMAR melalui sistem pendidikan yang merangkumi aspek fizikal seperti bangunan dan penjenamaan, aspek kurikulum serta pedagogi pengajaran dan pembelajaran. Ia juga bertujuan untuk melihat sejauh mana survival SMAR dalam mengharungi peralihan serta perubahan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan. Kajian ini menggunakan kaedah perpustakaan dengan merujuk kepada buku-buku ilmiah, jurnal dan artikel yang berkaitan. Hasil kajian mendapati bahawa perkembangan Sekolah Agama Rakyat di negeri Perak mengalami empat fasa atau peringkat perubahan. Peringkat pertama pengajian agama dijalankan secara bersemuka antara guru dan anak murid di surau, masjid dan pondok. Amalan pengajian ini juga dinamaakan sebagai pengajian pondok atau sekolah pondok. Pada peringkat kedua pengajian agama dijalankan secara lebih teratur dan tersusun berdasarkan jadual dengan merangkumkan matapelajaran akademik dan agama. Aktiviti pengajaran di laksanakan di madrasah yang mempunyai bangunan khusus. Pada peringkat seterusnya Sekolah Agama Rakyat menggantikan pengajian madrasah apabila kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan khusus kepada pembangunan infrastuktur dan pengajaran. Selanjutnya kajian mendapati sebahagian besar dari SMAR negeri Perak telah memilih untuk diserap ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sehingga Jun 2025 data menunjukkan sebanyak sembilan belas SMAR di negeri Perak yang masih meneruskan operasinya.










