Kajian Manuskrip Ghayat Al-Tullab oleh Syeikh Daud Al-Fatani.
Keywords:
Syeikh Daud al-Fatani, Ghayat al-Tullab, Fiqh Mazhab Syafi‘i, Warisan Keilmuan IslamAbstract
Kajian ini bertujuan untuk meneliti manuskrip Ghayat al-Tullab (juga dikenali sebagai Bughyat al-Tullab li Murid Ma‘rifah al-Ahkam al-Sawab), hasil karya agung Syeikh Daud al-Fatani, seorang ulama terkemuka Alam Melayu pada abad ke-13H/19M. Manuskrip ini merupakan rujukan utama dalam bidang fiqh Mazhab Syafi‘i dan berperanan sebagai pelengkap kepada karya-karya sebelumnya iaitu al-Sirat al-Mustaqim dan Sabil al-Muhtadin. Kajian ini menggunakan pendekatan sejarah dan analisis teks untuk meneliti sumber asal kitab yang diterjemahkan dan diperluas oleh Syeikh Daud al-Fatani untuk khalayak di Alam Melayu. Hasil kajian menunjukkan bahawa persoalan yang sering timbul terhadap penulisan kitab-kitab jawi sekadar terjemahan sumber Arab dijelaskan menerusi karya ini di mana Syeikh Daud al-Fatani berjaya mengadaptasi karya fiqh berbahasa Arab ke dalam bahasa Melayu melalui rujukan silang pelbagai sumber seperti penulisan tesis masa kini dengan pendekatan yang sistematik untuk menghasilkan pandangan fiqh yang bersesuaian dengan konteks sosial dan budaya masyarakat setempat. Selain itu, kajian ini juga mengupas polemik berkaitan tarikh kelahiran dan kewafatan Syeikh Daud al-Fatani berasaskan rehlah ilmiahnya dan penglibatannya dalam perjuangan politik di Patani. Secara tuntasnya, Ghayat al-Tullab bukan sahaja memperkaya khazanah fiqh di Nusantara, tetapi juga menegaskan peranan besar Syeikh Daud al-Fatani dalam memastikan kesinambungan warisan keilmuan Islam di Alam Melayu. Karya ini memberikan sumbangan signifikan dalam memperkukuhkan kefahaman umat Islam terhadap hukum-hakam syarak, menjadikannya rujukan penting yang relevan sepanjang zaman.