Eksplorasi peranan kelab falak astronomi Mattary dan SRTH sebagai pemacu perkembangan ilmu falak serta astronomi di Sarawak
Keywords:
Falak Astronomi, Gamifikasi Ilmu, Maqasid Syariah, Pendidikan Islam, Tahfiz RendahAbstract
Di Malaysia, pendidikan falak dalam kalangan pelajar sekolah rendah tahfiz masih berada pada tahap awal dan sering dianggap sebagai bidang khusus yang hanya sesuai untuk pengajian di peringkat lebih tinggi. Kurangnya perhatian terhadap ilmu falak di peringkat rendah berpunca daripada ketiadaan sistem pendekatan yang berstruktur secara berperingkat serta kekurangan bahan bantu mengajar yang interaktif dan bersesuaian dengan tahap murid. Kajian ini bertujuan untuk meneliti kewujudan dan sumbangan Kelab Falak Astronomi di Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub (MATTARY) dan Sekolah Rendah Tahfiz Hikmah (SRTH) sebagai peneraju awal dalam pendidikan falak berteraskan nilai-nilai Islam. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen, pemerhatian aktif terhadap aktiviti kelab serta penglibatan komuniti setempat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa integrasi penggunaan alat bantu mengajar seperti Rubu’ Mujayyab, aplikasi Istiwa’ A‘zam serta pendekatan gamifikasi melalui platform kuiz interaktif (Quizizz) dan permainan kad AL-KAHF memberi impak positif terhadap minat, kefahaman, serta penghayatan pelajar terhadap ilmu falak. Selain itu, kelab ini turut berjaya menggalakkan kolaborasi aktif antara guru, ibu bapa dan masyarakat dalam memperkaya pendidikan Islam yang menggabungkan elemen ilmu aqli dan naqli. Kajian ini membuktikan bahawa pendekatan kelab berasaskan pendidikan (education-based club approach) berpotensi dijadikan model perintis bagi pembangunan kurikulum falak di sekolah rendah tahfiz di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Islam dan Maqasid Syariah.