Peranan institusi al-Quran dalam melahirkan huffaz yang berkualiti: Kajian terhadap maahad tahfiz Darul Furqan, Kuala Lumpur.
Keywords:
Kata kunci, Huffaz, generasi terpilih, institusi tahfiz, fardhu kifayah, Maahad Tahfiz Darul FurqanAbstract
Institusi tahfiz memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mampu menghafal 30 juzuk al-Quran bahkan yang lebih utama mampu menghasilkan para huffaz yang berkualiti dan lancar dalam hafazan dan pembacaan al-Quran. Pada dasarnya, bukanlah tujuan penubuhan sekolah tahfiz untuk menyaingi pendidikan arus perdana, tetapi lebih penting adalah untuk memenuhi keperluan fardhu kifayah dan pembentukan ‘generasi terpilih’ dalam kalangan huffaz al-Quran yang pastinya sangat bermanfaat buat agama dan negara. Kajian ini bertujuan untuk meneliti peranan yang dimainkan oleh pengurusan institusi tahfiz di Malaysia dengan memilih Maahad Tahfiz Darul Furqan, Kuala Lumpur (TDF) dalam menghasilkan para huffaz yang berkualiti. Artikel ini memfokuskan kajian terhadap latar belakang penubuhan, struktur pentadbiran, kurikulum pengajaran, kejayaan yang diperolehi dan cabaran yang dihadapi oleh pihak pengurusan dalam melahirkan generasi huffaz yang lancar hafalan al-Qurannya. Realitinya, pelbagai isu seperti kekangan kewangan dan prasarana, persaingan antara institusi tahfiz, kompetensi para murabbi, kemampuan pelajar dan sokongan ibu bapa antara cabaran utama dalam menghasilkan generasi al-Quran yang benar-benar berkualiti. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menemubual pengurus dan guru di institusi tahfiz tersebut. Penulis juga menggunakan kaedah observasi melalui pengalaman penulis sendiri sebagai tenaga pengajar di institusi berkenaan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengurusan yang terancang, iltizam dan kesungguhan para huffaz, sistem sokongan berstruktur dan konsisten merupakan elemen-elemen penting dalam memastikan kelestarian dan keberkesanan institusi tahfiz dan generasinya. Kajian ini mencadangkan penambahbaikan dalam aspek latihan profesional pengurusan tahfiz, penyelarasan kurikulum dan sistem sokongan yang sistematik dan berkesan, serta kerjasama strategik antara institusi tahfiz dan agensi kerajaan. Kesimpulannya, untuk melahirkan para huffaz yang memenuhi kriteria hamlatulQuran, memerlukan komitmen bersepadu daripada semua pihak. Institusi al-Quran adalah platform pemudah cara, hakikatnya kesungguhan semua pihak yang berkaitan adalah penentu kejayaan sebenar para huffaz dalam memenuhi kriteria ahlulQuran.