Pandangan orang bukan Islam terhadap peruntukan hak membina rumah ibadat: Kajian di kalangan kaum cina di daerah Kinta Perak.
Keywords:
Hak Beragama, Rumah Ibadat, Kaum Cina, Kebebasan Beragama, MalaysiaAbstract
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama. Kebebasan beragama telah diperuntukkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks kebebasan beragama ini peruntukan bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam sering menjadi topik yang hangat dan penting kerana ia berkaitan dengan keperluan masyarakat minoriti. Oleh itu pandangan mereka terhadap peruntukan membina rumah ibadat ini memberi gambaran terhadap kefahaman, penerimaan serta pengalaman mereka dalam sistem pentadbiran sedia ada. Penyelidikan ini bertujuan mengenal pasti isu berkaitan rumah ibadat kaum Cina di daerah Kinta Perak dan menganalisis pandangan mereka terhadap peruntukan hak mendirikan rumah ibadat orang bukan Islam di Malaysia. Kajian ini adalah kajian kes dan lapangan menggunakan kaedah tinjauan dan temu bual. Temu bual yang dilakukan ke atas ahli jawatankuasa rumah ibadat di daerah Kinta dianalisis menggunakan analisis statistik deskriptif kualitatif untuk meringkas dan menggambarkan data kualitatif hasil pemerhatian dan temu bual dengan responden. Hasil kajian menunjukkan masyarakat Cina di daerah Kinta Perak berpendapat wujud hak kebebasan mengamalkan ajaran agama tanpa sebarang gangguan di rumah ibadat mereka. Ini kerana mereka tidak pernah menghadapi situasi diganggu oleh mana-mana pihak yang mewakili pihak kerajaan atau orang awam. Malahan tiada seorang pun responden menyatakan berhadapan perkara sedemikian atau dibawa isu amalan di mahkamah sivil. Namun begitu mereka merasakan terdapat kekangan dari segi proses mendapat kelulusan tanah, birokrasi yang panjang tempohnya, dan ketelusan dalam memberi peruntukan. Ada yang berpendapat walaupun secara prinsipnya kebebasan itu wujud, ia tidak dilaksanakan secara saksama antara semua kaum dan agama. Responden juga menyarankan agar garis panduan pembinaan rumah ibadat diperjelaskan dan dipermudahkan dan pihak berkuasa tempatan dan berharap agar wujud sistem yang lebih telus, adil serta efisien dalam urusan mendirikan rumah ibadat mereka. Mereka juga menekankan dialog antara komuniti agama dengan pihak berkuasa agar dasar-dasar berkaitan rumah ibadat dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan saksama. Penemuan ini dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik mengenai keharmonian antara agama dan merangka dasar yang lebih inklusif bagi memastikan hak kebebasan beragama dihormati oleh semua pihak.