Senario penuaan dan keperluan asas warga emas: tinjauan awal di Malaysia.
Keywords:
Dasar Sosial Penuaan, Keperluan Asas, Kesejahteraan, Malaysia, Warga EmasAbstract
Malaysia kini berada di ambang transformasi demografi apabila jumlah warga emas semakin meningkat dan dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030. Perubahan ini menimbulkan pelbagai implikasi terhadap keperluan asas warga emas yang merangkumi aspek kesihatan, tempat tinggal, sokongan sosial dan emosi, serta keselamatan kewangan. Kajian ini merupakan satu tinjauan awal yang bertujuan untuk mengenal pasti senario semasa penuaan di Malaysia dan mengupas keperluan asas utama warga emas dalam menghadapi fasa kehidupan yang lebih mencabar ini. Kaedah kualitatif melalui analisis dokumen dasar serta data sekunder digunakan bagi mendapatkan gambaran awal tentang situasi ini. Dapatan awal menunjukkan bahawa ramai warga emas berdepan dengan keterbatasan akses terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti, persekitaran tempat tinggal yang tidak mesra usia, dan kekurangan jaringan sokongan sosial, terutamanya bagi mereka yang tinggal bersendirian atau tidak mempunyai penjaga. Di samping itu, isu pendapatan yang tidak mencukupi turut menjejaskan kemampuan warga emas untuk menampung keperluan harian. Walaupun terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan sektor bukan kerajaan, masih terdapat jurang dalam pelaksanaan dan capaian bantuan. Kajian ini mencadangkan agar dasar berkaitan warga emas perlu ditambah baik dengan pendekatan yang lebih holistik, inklusif dan berfokuskan komuniti agar kesejahteraan warga emas dapat dipelihara secara menyeluruh. Diharapkan kajian ini dapat menjadi asas kepada penyelidikan lanjut dan penggubalan polisi yang lebih efektif dalam mendepani isu penuaan negara.