Kedudukan ṭayyib sebagai prasyarat dalam pemakanan dari perspektif syarak: Analisis pandangan empat mazhab fiqah.
Keywords:
Empat Mazhab, Fiqah, Pemakanan, ṬayyibAbstract
Islam menitik beratkan soal pemakanan kerana impaknya yang signifikan terhadap kehidupan manusia. Terdapat pelbagai ayat al-Quran dan hadis yang menekankan soal pemakanan yang halal dan ṭayyib, yang menjadikannya sebagai panduan pemakanan dalam Islam. Berdasarkan kepada sorotan literatur yang dijalankan, terdapat kecenderungan sebahagian pengkaji yang menganggap ṭayyib hanya sebagai satu nilai tambah dalam pemakanan dan bukannya sebagai satu prasyarat yang perlu dipenuhi. Justeru, penyelidikan ini dijalankan bagi menganalisis pandangan para fuqaha dalam kalangan empat mazhab fiqah yang muktabar bagi mengenal pasti kedudukan ṭayyib sebagai prasyarat pemakanan dari perspektif syarak. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif secara deskriptif dengan menjalankan analisis tematik terhadap kitab-kitab muktamad dalam keempat-empat mazhab fiqah. Kajian ini mendapati bahawa keempat-empat mazhab fiqah yang muktabar bersepakat bahawa ṭayyib adalah merupakan salah satu daripada prasyarat pemakanan dari perspektif syarak. Justeru, penggunaan istilah “makanan yang tidak ṭayyib” di sisi syarak merujuk kepada makanan yang bercanggah dengan hukum syarak, dan makanan yang dibenarkan kepada umat Islam hanyalah makanan yang diiktiraf di sisi syarak sebagai makanan yang halal dan ṭayyib. Hasil penyelidikan ini turut memperkukuh pemahaman yang menyeluruh terhadap hukum fiqah dalam pemakanan serta memberikan pandangan yang bernilai bagi wacana semasa berkaitan etika dan amalan pemakanan.