Sistem Perundangan Islam dalam Perspektif Konseptual: Analisis Terhadap Fiqh, Syariah, Qanun dan ‘Urf.
Keywords:
Konsep Perundangan Islam, Maqasid Syariah, Teori Hukum IslamAbstract
Perundangan Islam merupakan sistem hukum yang berasaskan wahyu Ilahi dan bersifat menyeluruh, meliputi aspek ibadah, muamalah, kekeluargaan, jenayah dan nilai-nilai kemasyarakatan. Namun, dalam era moden, berlaku kekeliruan terhadap istilah fiqh, syariah, qanun dan ‘urf yang sering digunakan secara bergantian tanpa memahami perbezaan epistemologi dan aplikasinya. Kekeliruan ini menjejaskan kefahaman terhadap prinsip asas perundangan Islam serta pelaksanaannya dalam sistem perundangan negara. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis secara konseptual kedudukan dan hubungan antara empat komponen utama dalam tradisi perundangan Islam iaitu fiqh, syariah, qanun dan ‘urf dalam kerangka Maqasid Syariah. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan dokumen secara kualitatif berdasarkan rujukan kontemporari dan sumber akademik semasa.. Hasil kajian mendapati bahawa fiqh merupakan produk ijtihad manusia yang dinamik dan berfungsi sebagai mekanisme pelaksanaan syariah; syariah pula bersifat tetap dan menjadi asas wahyu yang tidak berubah; qanun berperanan sebagai kodifikasi hukum bagi tujuan pentadbiran dan penguatkuasaan; manakala ‘urf memainkan peranan pelengkap sebagai amalan masyarakat yang selari dengan prinsip Islam. Keempat-empat unsur ini membentuk satu sistem perundangan Islam yang bersepadu dan responsif terhadap realiti semasa. Perbincangan dalam artikel ini menegaskan bahawa pemahaman yang jelas terhadap peranan dan batasan setiap konsep adalah penting untuk memastikan hukum Islam sentiasa berorientasikan nilai dan maslahat. Maqasid Syariah menjadi tonggak utama dalam memastikan kesemua unsur ini bergerak dalam kerangka keadilan dan kesejahteraan umat. Kajian ini menyumbang kepada pengukuhan teori perundangan Islam dalam konteks kontemporari yang kompleks dan pelbagai.