Keperluan parameter syariah dalam perubatan Melayu tradisional.
Keywords:
Perubatan Melayu, Syariah, parameter, fiqh perubatan, tradisional, akidah, maslahahAbstract
Perubatan Melayu tradisional merupakan satu bentuk amalan kesihatan warisan
yang telah diamalkan sejak sekian lama oleh masyarakat Melayu berasaskan ramuan herba,
doa-doa tertentu, ritual pemulihan, kefahaman holistik terhadap tubuh badan dan
keseimbangan alam. Walaupun ia terbukti berperanan dalam menyokong kesejahteraan fizikal
dan spiritual masyarakat, wujud keperluan untuk menilai kesesuaiannya dari sudut hukum
Syariah. Hal ini penting bagi memastikan amalan perubatan tersebut tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip tauhid, tidak mengandungi unsur syirik, khurafat, atau penggunaan bahan yang
diharamkan. Kajian ini bertujuan meneliti keperluan penggubalan parameter Syariah yang
boleh dijadikan asas penilaian terhadap kesahihan dan kebolehterimaan perubatan Melayu
tradisional dalam kalangan umat Islam. Pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan dan
sorotan literatur digunakan untuk mengkaji kerangka prinsip-prinsip Syariah seperti hifz aldin,
hifz al-nafs, dan hifz al-‘aql, serta kaedah fiqh seperti sad al-zari‘ah, maslahah mursalah,
dan qawa‘id fiqhiyyah dalam menilai amalan perubatan tradisional. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa wujud beberapa elemen yang boleh diterima Syariah seperti penggunaan
tumbuhan semula jadi dan rawatan secara urutan atau bekam manakala elemen lain seperti
seruan roh, pemujaan atau penggunaan jampi yang tidak diketahui maksudnya perlu disaring dan diteliti. Justeru, suatu parameter Syariah yang tersusun dan berpandukan sumber hukum
Islam amat diperlukan bagi menilai, menyaring dan menstrukturkan perubatan Melayu
tradisional ke arah pemurnian syariah dan pemeliharaan akidah umat Islam.