Pengabaian nafkah zahir sebagai isu kemanusiaan dan agama: suatu cadangan kerangka tindakan.
Keywords:
fiqh kekeluargaan, keadilan keluarga Islam, nafkah zahir, pengabaian tanggungjawab, Undang-undang Keluarga IslamAbstract
Pengabaian nafkah zahir oleh suami atau bekas suami merupakan antara isu kritikal
yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan wanita dan anak-anak dalam institusi
kekeluargaan Muslim. Fenomena pengabaian masih berlaku secara meluas dalam masyarakat
walaupun kewajipan pemberian nafkah telah diperincikan dalam nas al-Quran, hadis dan
kitab-kitab fiqh. Tujuan penulisan kertas konsep ini adalah untuk mencadangkan satu kerangka
tindakan yang bersifat holistik bagi menangani isu pengabaian nafkah zahir melalui
pendekatan agama, sosial dan perundangan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif
melalui analisis kandungan terhadap jurnal akademik berkaitan tanggungjawab nafkah dan
pembangunan sistem kekeluargaan Islam. Dapatan menunjukkan bahawa isu ini berpunca
daripada kelemahan dalam pendidikan nilai agama, ketiadaan sistem sokongan interim untuk
mangsa serta kegagalan memahami kedudukan nafkah sebagai amanah. Kajian literatur juga memperlihatkan bahawa penyelesaian jangka panjang menuntut sinergi antara
penguatkuasaan undang-undang, pemerkasaan institusi keluarga dan pendidikan berteraskan
nilai Islam. Justeru, kertas ini mengemukakan satu cadangan kerangka tindakan bersepadu
sebagai usaha menegakkan keadilan dan menjaga maruah keluarga Muslim secara
menyeluruh.