Psikosufistik sebagai alternatif menangani gejala viralisme Muslim: Tinjauan awal
Keywords:
Psikosufistik, Alternatif, Gejala Viralisme, Muslim, Tinjauan AwalAbstract
Kemudahan media sosial telah membuatkan lebih banyak berlakunya gejala
viralisme atau penularan berita palsu serta fitnah di alam maya. Istilah viralisme boleh
dikaitkan dengan sesuatu yang membabitkan penyebaran maklumat dan perkongsian cerita
ataupun pendapat mengenai pelbagai perkara dihasilkan oleh seseorang kemudian disebarkan
menerusi media sosial sehinggalah berita tersebut dikongsi secara berterusan. Gaya hidup
masa kini menyaksikan pengguna media sosial menyebarkan berita tanpa batas sempadan dan
tidak menilainya dengan neraca adab dan akhlak termasuklah dalam kalangan pengguna
Muslim. Dalam situasi ini, maka gejala viralisme akhirnya menjadi virus yang membawa
kepada perpecahan masyarakat dan menggugat keharmonian institusi sosial. Gejala viralisme
ini hakikatnya bertentangan dengan ajaran adab Islam yang murni kerana Islam menjunjung
tinggi akhlak terpuji. Maka, tinjauan awal ini mencadangkan psikosufistik sebagai alternatif
dalam menangani gejala viralisme Muslim. Psikosufistik menekankan lima (5) nilai utama
bertunjangkan pemikiran Ibnu Atha’illah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam iaitu (i) Nilai
ketauhidan, (ii) Nilai kemanusiaan, (iii) Nilai kerendahan hati, (iv) Nilai kearifan tempatan
dan (v) Nilai perubahan diri. Nilai-nilai yang menjadi prinsip tasawuf tersebut menjadi
landasan dalam membentuk keperibadian Muslim yang beriman, bertaqwa dan berakhlak
mulia. Pemahaman terhadap iman, taqwa dan akhlak mulia merupakan dasar pembentukan
pola pandangan, sikap dan perilaku seorang Muslim.