Kelas kemahiran tarannum al-Quran sebagai pemangkin nilai tambah pembangunan kompetensi holistik: Kajian kes terhadap pelajar diploma pendidikan Islam (DPI), ACIS UiTM Shah Alam
Keywords:
Kompetensi nilai tambah, pendidikan Islam, pembangunan pelajar, tarannum al-Quran, UiTMAbstract
Pendidikan Islam kontemporari menuntut pelajar bukan sahaja menguasai kandungan kurikulum, tetapi juga memiliki kemahiran nilai tambah yang memperkukuh kompetensi akademik, spiritual, dan profesional. Sehubungan itu, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam melalui Modul BANGKIT memperkenalkan Kelas Kemahiran Tarannum al-Quran sebagai inisiatif pembangunan holistik bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam (DPI). Kajian ini berbentuk kualitatif menggunakan reka bentuk kajian kes melibatkan enam siri kelas dengan penyertaan 30 orang pelajar. Data dikumpul melalui laporan pelaksanaan, pemerhatian sistematik, dan refleksi bertulis, kemudian dianalisis secara tematik. Dapatan menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan maqāmāt, kawalan vokal, teknik pernafasan, intonasi, keyakinan diri, disiplin, adab bersama guru, serta kemahiran komunikasi dan dakwah bil-lahn. Integrasi elemen nasyid dan platform digital turut meningkatkan motivasi serta kreativiti pelajar. Secara keseluruhan, Kelas Kemahiran Tarannum al-Quran terbukti sebagai pemangkin nilai tambah signifikan dalam pembangunan kompetensi holistik bakal guru Pendidikan Islam. Implikasi kajian menegaskan keperluan menginstitusikan program seumpama ini sebagai komponen teras pendidikan guru bagi melahirkan generasi pendidik kompeten, beretika, beradab, dan berjiwa murabbi.