Empat dimensi keselamatan makanan: Analisis isu kebersihan makanan di Malaysia
Keywords:
Kebersihan makanan, keselamatan makanan, Pengendali makanan, kawalan haiwan perosak, premis dan fasiliti makananAbstract
Kebersihan makanan merupakan aspek kritikal dalam menjamin keselamatan makanan dan kesihatan awam. Walaupun Malaysia telah menggubal Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009, insiden keracunan makanan masih kerap dilaporkan, menandakan jurang antara garis panduan rasmi dengan pematuhan di lapangan. Kajian ini bertujuan mengenal pasti isu kebersihan makanan semasa di Malaysia serta membangunkan kerangka konseptual keselamatan makanan berasaskan empat dimensi: kebersihan diri pengendali makanan, premis dan fasiliti, pengendalian bahan mentah, serta kawalan haiwan perosak. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan dengan manual coding terhadap artikel berindeks tinggi (2020–2025) dan laporan media tempatan. Proses manual coding merangkumi pembacaan berulang, penandaan teks, pembangunan kategori awal, pengelompokan kod, dan sintesis kepada tema. Dapatan menunjukkan kelemahan berterusan dalam aspek pengendali makanan (kebersihan tangan, penggunaan aksesori, suntikan tifoid), fasiliti (premis berusia, peralatan kotor), bahan mentah (pencemaran silang, kawalan suhu lemah), dan kawalan perosak (infestasi lipas dan tikus). Kerangka konseptual empat faktor yang dicadangkan iaitu manusia, struktur, teknikal, dan ekologi menawarkan pemahaman holistik tentang keselamatan makanan di Malaysia. Kajian ini diharap dapat menjadi rujukan awal kepada dasar, pendidikan, dan penguatkuasaan, serta membuka ruang bagi penyelidikan empirikal lanjut.