Analisa dakwah interaktif berasaskan TikTok dalam kalangan belia
Keywords:
Belia, dakwah interaktif, media sosial, infografik, TikTokAbstract
Media sosial kini menjadi pilihan ramai warga belia dalam melaksanakan aktiviti dakwah secara dua hala (interaktif) khususnya TikTok yang semakin mendapat perhatian ramai kerana mempunyai elemen-elemen menarik yang boleh dilihat menerusi aplikasi tersebut. Namun, beberapa aspek penting yang tidak diberi penekanan oleh pendakwah seperti aspek interaktif yang kurang berkesan, aspek pendekatan dakwah yang kurang sesuai, aspek suara dan muzik yang tidak patuh syariah, aspek infografik yang kurang kreatif dan sebagainya. Tambahan lagi, semakin banyak isu berkenaan pendakwah yang tidak menyampaikan dakwah mengikut etika yang diajarkan dalam Islam. Ramai dalam kalangan mereka sekadar ingin meraih perhatian atau mengikut trend dan gagal mencapai matlamat utama dakwah iaitu amar ma’ruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Objektif kajian yang ingin dijalankan adalah mengenal pasti kriteria atau aspek utama yang perlu dipraktikkan dalam aktiviti dakwah interaktif melalui media sosial terutamanya dalam kalangan belia. Kajian ini dijalankan secara kualitatif iaitu menggunakan kaedah kajian perpustakaan dan analisa kandungan. Hasil kajian menunjukkan bahawa beberapa kriteria seperti aspek interaktif, aspek pendekatan hikmah, nasihat dan berdialog cara baik, aspek seni suara dan muzik, serta aspek infografik adalah signifikan dan sesuai diimplementasikan dalam dakwah secara interaktif melalui TikTok. Ia mampu memberikan implikasi positif terhadap golongan belia seperti tahap kecenderungan dan minat untuk mendalami ilmu agama menjadi lebih baik serta membentuk jati diri Insan Adabi (insan yang beradab dan bertamadun) yang sentiasa diredai Allah SWT.