Analisa mesej dakwah dalam filem animasi Mechamato Movie
Keywords:
dakwah, mesej, filem, karya, karekterAbstract
Peranan filem sebagai wahana dakwah dalam pembentukan karakter individu yang holistik tidak dapat dinafikan. Ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi kluster Pendidikan. Ini kerana pembikinan karya kreatif yang berkualiti khususnya animasi berpotensi memberi nilai tambah yang positif dalam membentuk pemikiran, emosi dan tingkah laku individu. Malah, naratif mesej dakwah yang digarap melalui plot, tema, watak dan perwatakan menjadi satu keunikan bagi sesebuah naskhah filem yang diterbitkan. Walau bagaimanapun, penerbitan filem ini seharusnya menepati kerangka dakwah berasaskan piawaian syarak. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menganalisa sejauh mana mesej dakwah mampu menjadi medium pembentukan insan yang holistik. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan pengumpulan data melalui kajian perpustakaan dan dokumentasi daripada sumber primer. Manakala dapatan kajian dianalisa berdasarkan analisa kandungan dengan mengintegrasikan penggunaan kaedah tematik dan CAVDI-xpro. Hasil kajian mendapati terdapat sembilan (9) mesej dakwah yang signifikan dipaparkan dalam filem animasi ini berdasarkan kerangka teori mesej dakwah merangkumi akidah, akhlak, ibadah dan syariat.