Keperluan kompaun bagi kesalahan tidak boleh tangkap dibawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991
Keywords:
Kompaun, Hukuman denda, Kesalahan tidak boleh tangkapAbstract
Kompaun merupakan bentuk hukuman denda yang dibayar oleh pelaku kesalahan kepada pihak berkaitan tanpa perbicaraan atau pensabitan di Mahkamah. Di Malaysia penggunaan kompaun sebagai hukuman denda atau bentuk tawaran dan kebanyakkannya melibatkan kesalahan-kesalahan kecil atau ringan seperti kesalahan lalu lintas yang melibatkan kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat, kesalahan dibawah akta Imigresen seperti melanggar syarat pas atau permit, kesalahan di bawah akta kerajaan tempatan (PBT) yang melibatkan kesalahan-kesalahan dibawah undang-undang kecil penjaja seperti tidak mematuhi syarat lesen yang ditetapkan dan lain-lain lagi. Selain itu terdapat juga penggunaan kompaun terhadap kesalahan-kesalahan ringan syariah atau mempunyai elemen keagamaan dan nilai-nilai kerohanian seperti kesalahan berhubung dengan akad nikah perkahwinan dan lain-lain yang diperuntukkan dibawah Enakmen Kesalahan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis, 2024 dan juga kesalahan tidak menutup aurat dan berpakaian sopan yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1989 (Pindaan) 2002 Kompaun dilihat sebagai salah satu daripada peringanan hukuman bagi memberi kesedaran dan peluang kepada pelaku kesalahan untuk bertaubat. Kajian ini adalah bertujuan menganalisis keperluan kompaun bagi kesalahan tidak boleh tangkap dibawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. Kajian ini berbentuk kajian kualitatif menerusi kaedah analisis kandungan, pengumpulan data dan analisis dokumen seperti buku-buku, jurnal, kertas kerja, tesis, artikel dan statut. Dapatan kajian mendapati pelaksanaan kompaun sesuai bagi kesalahan kali pertama yang melibatkan beberapa kesalahan tidak boleh tangkap dibawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 seperti seksyen 46 (tidak menunaikan sembahyang Jumaat), seksyen 49 (menjual makan dan makan dalam bulan Ramadan) dan lain-lain lagi. Hal ini kerana kaedah kompaun terhadap kesalahan kali pertama merupakan pencegahan awal dan pemulihan yang diberikan terhadap pelaku supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Oleh itu, keharusan pemerintah dan pihak berkaitan mengenakan kompaun terhadap pelaku kesalahan tidak boleh tangkap ini adalah sebagai salah satu usaha untuk mencegah kesalahan daripada berlaku.