Amalan mistik dalam adat dan kepercayaan masyarakat Bajau di Kota Belud, Sabah
Keywords:
Mistik, Kepercayaan, BajauAbstract
Masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah terkenal sebagai sebuah komuniti yang kaya dengan warisan tradisionalnya. Sokongan dan soladariti masyarakat dalam menjunjung warisan turun temurun perlu dicontohi dalam lanskap komuniti berbudaya. Namun, tidak dinafikan, di sebalik budaya dan adat kepercayaan yang dipertahankan tersebut mengandungi amalan-amalan berbentuk mistik yang kadang kala tampil sebagai kawalan sosial para pendukungnya. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengkaji bentuk-bentuk amalan mistik masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah. Kajian ini berbentuk kualitatif yang mengaplikasikan kaedah temu bual dan observasi (pemerhatian turut serta) dalam proses pengumpulan data. Kaedah temu bual dilaksanakan bagi informan yang dipilih secara khusus berdasarkan pengetahuan mendalam berkaitan amalan adat masyarakat Bajau Kota Belud. Golongan tua dan ketua adat adalah sasaran dalam mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan. Observasi dilakukan dengan mengadakan diskusi dan persetujuan dengan informan bagi menyertai sesebuah upacara adat yang bakal dilangsungkan. Kajian ini mendapati, terdapat beberapa bentuk amalan mistik yang masih lestari diamalkan sehingga kini. Amalan mistik yang dapat dikesan aplikasinya lebih tertumpu kepada kepercayaan terhadap makhluk supernatural, roh orang yang meninggal dunia, nenek moyang dan pelbagai pantang dalam sesebuah keturunan mistik. Kajian ini memberi gambaran jelas bahawa, amalan mistik masih dijadikan sebagai praktik penting di era moden ini dalam konteks masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah.