Aplikasi kaedah “Al-Rukhas La Tunat Bi Al-Syakk” dalam penilaian keupayaan pesakit strok melaksanakan ibadah.
Keywords:
Kaedah fiqh, rukhsah, khitab, strok dan demensia vaskularAbstract
Dalam mencapai kemampanan kesihatan secara optimum, syariah memainkan peranan yang signifikan terutamanya melalui interaksi hukum-hukum fiqh yang timbul dalam kalangan pesakit khususnya pesakit strok. Paradigma syariah yang menghimpunkan permasalahan yang bersifat juz’iy di bawah naungan kaedah-kaedah fiqh yang bersifat kulli telah memberikan solusi terhadap ketidakupayaan pesakit strok seperti penurunan tahap kognitif dan fungsi fizikal. Namun, penentuan hukum secara rambang tanpa penelitian ke atas kondisi sebenar pesakit strok akan menyebabkan kesukaran dalam melaksanakan sesuatu tuntutan (khitab) atau meringankan tanggungjawab syarak yang ditetapkan melalui rukhsah sebagai salah satu bentuk keringanan syarak. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji peranan kaedah “al-Rukhas La Tunat bi al-Syakk” sebagai mekanisme penelitian terhadap permalasahan hukum yang timbul secara terperinci dalam kalangan pesakit strok melalui kepelbagaian ketidakupayaan yang dialami sebelum menetapkan sebarang hukum ke atas mereka. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan data dikumpul melalui metode kepustakaan melalui kajian-kajian lepas. Hasil kajian menunjukkan bahawa strok mempunyai kesan ketidakupayaan yang kompleks seperti anosognosia dan demensia vaskular yang perlu diteliti secara terperinci sebelum meringankan khitab yang bersifat ‘azimah kepada rukhsah. Signifikan bagi kajian ini dapat diteruskan dengan pengaplikasian kaedah fiqh ini dalam ruang lingkup syariah sebagai kelestarian paradigma syariah bagi pesakit strok.