Dalil Naqli tentang larangan penipuan dalam muamalat: analisis syariah dan implikasi kepada masyarakat
Keywords:
Penipuan, transaksi, muamalat, dalil naqli, implikasi Syariah, atas talianAbstract
Penipuan dalam muamalat merupakan isu kritikal yang memberi implikasi besar kepada kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Islam sebagai agama yang syumul telah menetapkan garis panduan yang jelas dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam melakukan transaksi, termasuk larangan terhadap sebarang bentuk penipuan. Artikel ini bertujuan untuk menganalisis dalil-dalil naqli yang menegaskan larangan penipuan dalam muamalat serta menilai implikasi syariah terhadap masyarakat. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan metode analisis dokumen, melibatkan kajian terhadap ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi serta pandangan ulama muktabar berkaitan hukum penipuan dalam transaksi. Hasil kajian menunjukkan bahawa Islam melarang penipuan secara mutlak menerusi kefahaman yang dapat digarap daripada pelbagai dalil naqli, termasuk ayat-ayat yang menekankan kepentingan kejujuran dan keadilan, serta hadis-hadis yang mengecam perbuatan menipu dan menindas dalam jual beli. Implikasi syariah daripada larangan ini merangkumi keperluan pematuhan terhadap prinsip al-sidq (kejujuran) dan al-amanah (amanah) dalam bermuamalat. Penghayatan terhadap prinsip ini amat penting dalam membina sistem ekonomi yang beretika dan menepati hukum syarak. Tambahan pula, pengabaian terhadap prinsip ini boleh membawa kesan negatif seperti ketidakpercayaan Masyarakat terhadap barang yang diperdagangkan, ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kes jenayah kewangan khususnya penipuan atas talian. Oleh itu, pemahaman dan penghayatan terhadap dalil-dalil naqli berkaitan larangan penipuan dalam muamalat adalah amat penting bagi memastikan integriti dalam transaksi yang berlandaskan syariah serta kesejahteraan sosial dapat dipertahankan