Sejarah dan evolusi maahad tahfiz: Penggunaan ICT dalam transformasi pembelajaran tahfiz
Keywords:
Maahad Tahfiz, ICT, pendidikan Islam, hafazan al-Quran, inovasi pembelajaranAbstract
Kajian ini membincangkan sejarah serta evolusi pendidikan Maahad Tahfiz di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam mentransformasikan proses pembelajaran tahfiz. Objektif utama kajian adalah menelusuri perkembangan institusi tahfiz dari aspek sejarah dan kurikulum, meneliti kepentingan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran tahfiz, dan mengenal pasti cabaran penggunaan ICT dalam pendidikan tahfiz. Kajian ini dilaksanakan melalui pendekatan kualitatif berbentuk kajian kepustakaan dengan menganalisis pelbagai sumber sekunder seperti laporan agensi agama, artikel jurnal akademik, tesis sarjana dan doktor falsafah, prosiding persidangan, serta penulisan ilmiah dalam bidang pendidikan Islam dan teknologi pendidikan. Hasil analisis mendapati bahawa penggunaan ICT dalam pendidikan tahfiz memberikan kesan yang signifikan terhadap motivasi pelajar, pengukuhan pengajaran, dan keberkesanan hafazan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan teknologi ini turut berhadapan dengan beberapa kekangan seperti keterbatasan infrastruktur, tahap kompetensi guru dalam penggunaan ICT, serta ketiadaan bahan digital yang bersesuaian dengan pendekatan tahfiz. Justeru, kajian ini mencadangkan agar integrasi ICT dalam pendidikan tahfiz diperkukuh melalui penyediaan latihan berterusan kepada guru, pembangunan platform pembelajaran yang interaktif serta penghasilan bahan bantu mengajar digital yang berpaksikan pedagogi tahfiz. Secara keseluruhan, transformasi pendidikan tahfiz berasaskan ICT dilihat sebagai satu keperluan strategik dalam memastikan kelestarian dan keberkesanan sistem tahfiz di era pendigitalan global