Pengaruh teknologi digital terhadap kesejahteraan mental pelajar: Satu tinjauan di UiTM Cawangan Melaka
Keywords:
teknologi digital, media sosial, kesihatan mental, pelajar, UitmAbstract
Era digital masa kini menyaksikan penggunaan teknologi yang sangat meluas dalam kalangan pelajar, khususnya pelajar di institut pengajian tinggi. Teknologi digital seperti media sosial, gajet atau peranti pintar dan pelbagai aplikasi khususnya dalam aspek pembelajaran telah menjadi alat penting dalam kehidupan harian pelajar. Kajian ini bertujuan untuk meninjau pengaruh teknologi digital terhadap kesejahteraan mental pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, dengan tumpuan pelajar sepenuh masa di Kampus Alor Gajah. Menggunakan kaedah tinjauan literatur secara sistematik dan pendekatan kuantitatif secara soal selidik, kajian ini mengenal pasti kesan positif dan negatif teknologi digital terhadap kesejahteraan mental pelajar. Dapatan menunjukkan bahawa teknologi digital berpotensi menyokong kesejahteraan mental melalui peningkatan sokongan sosial, akses maklumat dan hiburan. Namun begitu, ia turut membawa risiko seperti ketagihan, tekanan sosial, gangguan tidur dan keresahan jika tidak dikawal dengan baik. Kajian ini turut mengenal pasti faktor risiko dan pelindung dalam kalangan pelajar serta mencadangkan beberapa langkah intervensi termasuk pendidikan literasi digital, pelaksanaan program kesejahteraan kampus, dasar institusi mesra mental, dan penglibatan komuniti. Rumusan kajian menyarankan pendekatan holistik dalam penggunaan teknologi agar kesejahteraan mental pelajar dapat dipelihara dalam suasana kampus yang lestari.