Cabaran dakwah dalam kalangan masyarakat islam orang asli Jahai di Tasik Banding dan semai di Kuala Woh: Satu kajian perbandingan
Keywords:
Cabaran dakwah, Infrastruktur, Orang Asli, Penerimaan Islam, Pendidikan agamaAbstract
Orang Asli Jahai dan Semai merupakan dua kumpulan etnik yang mempunyai keunikan budaya dan dialek tersendiri. Namun, cabaran dalam berdakwah Islam kepada mereka masih menjadi isu utama. Kajian ini bertujuan untuk menganalisis cabaran dakwah dan amalan Islam dalam kalangan masyarakat Islam Orang Asli Jahai di Tasik Banding dan Semai di Kuala Woh, serta membandingkan faktor yang mempengaruhi penerimaan agama dalam kedua-dua komuniti ini. Pendekatan kualitatif digunakan melalui temubual, pemerhatian turut serta, dan analisis dokumen. Hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan masyarakat Jahai yang menganut Islam hanya mengamalkan kewajipan asas seperti solat dan puasa, sementara amalan lain kurang dipraktikkan akibat kekangan prasarana, faktor geografi, dan akses terhad kepada pendidikan Islam. Bagi masyarakat Semai, bilangan penganut Islam adalah lebih kecil, dan penerimaan mereka terhadap ajaran Islam lebih dipengaruhi oleh faktor dakwah, persepsi terhadap agama, dan latar belakang budaya. Kajian ini menunjukkan bahawa meskipun terdapat perbezaan tahap penerimaan Islam antara kedua-dua komuniti, cabaran utama seperti infrastruktur, pendidikan agama, dan sokongan dakwah yang berterusan masih menjadi faktor kritikal dalam usaha melestarikan Islam dalam kalangan Orang Asli. Oleh itu, usaha bersepadu daripada pihak berwajib dan NGO diperlukan bagi memperkukuhkan dakwah dengan pendekatan lebih berkesan dan bersesuaian dengan latar sosio-budaya mereka.