Analisis agihan zakat pendidikan oleh institusi pengajian tinggi di Sabah
Keywords:
agihan zakat, pendidikan, universiti, amil zakatAbstract
Bantuan pendidikan merupakan elemen penting dalam usaha membebaskan golongan asnaf daripada belenggu kemiskinan. Dalam konteks ini, institusi zakat memainkan peranan yang signifikan dengan menyalurkan dana zakat sebagai bentuk sokongan pendidikan kepada golongan tersebut. Usaha melokalisasikan pengagihan zakat di institusi pengajian tinggi (IPT) membuka ruang kepada pelajar asnaf untuk melanjutkan pengajian serta memotivasikan mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik. Di Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan beberapa IPT tempatan sebagai penolong amil dalam pengurusan agihan zakat. Oleh itu, kajian ini bertujuan meneliti pelaksanaan pengagihan zakat kepada pelajar asnaf di dua buah IPT di Sabah iaitu Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah dokumentasi dan kajian perpustakaan bagi pengumpulan data, manakala analisis kandungan digunakan untuk menganalisis dapatan. Hasil kajian menunjukkan bahawa bantuan zakat berjumlah hampir RM4 juta bagi tempoh tiga tahun telah disalurkan kepada lebih 7,000 orang pelajar asnaf di kedua-dua IPT yang merangkumi empat kategori asnaf iaitu fakir, miskin, fī sabilillah dan mualaf. Kerjasama antara institusi zakat dan IPT dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh bantuan kewangan kepada pelajar seterusnya dapat meringankan beban ekonomi mereka serta meningkatkan prestasi akademik dan kualiti hidup. Kajian ini diharap dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai peranan institusi zakat dan IPT dalam menyokong pembangunan pendidikan tinggi untuk golongan asnaf di Sabah dan Malaysia secara amnya.