Model diplomasi Nabi Sulaiman 'Alaihissalam dalam al-Quran: Analisis tafsir tematik terhadap strategi kepimpinan berteraskan wahyu.
Keywords:
diplomasi, Nabi Sulaiman 'Alaihissalam, Al-Quran, kepimpinan profetik, strategi diplomatik, hubungan antarabangsaAbstract
Diplomasi merupakan seni kepimpinan yang menuntut kebijaksanaan dalam komunikasi, rundingan dan penyelesaian konflik secara harmoni. Dalam al-Quran, Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam digambarkan sebagai seorang nabi dan raja yang unggul bukan sahaja dalam aspek ilmu dan ketenteraan, malah turut menonjol dalam keupayaan diplomatiknya. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif secara induktif melalui kaedah kajian kepustakaan bagi meneliti strategi diplomasi Nabi Sulaiman berdasarkan Surah al-Naml (27:15–44), Surah al-Anbiya’ (21:79–82), Surah Saba’ (34:12–14), dan Surah Sad (38:20–38). Analisis teks dilakukan terhadap ayat-ayat al-Quran berserta tafsir klasik dan kontemporari bagi memahami peranan Nabi Sulaiman sebagai tokoh diplomasi unggul, khususnya dalam mengurus hubungan pelbagai pihak secara strategik. Kajian ini juga meneliti penerapan prinsip-prinsip diplomasi dalam gaya kepemimpinan baginda serta potensi aplikasinya dalam konteks kepimpinan masa kini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa model diplomasi Nabi Sulaiman berpaksikan ketundukan kepada Allah SWT, nilai etika yang tinggi, komunikasi berkesan, pengurusan konflik yang adil serta sifat rendah hati (tawaduk). Model ini menawarkan perspektif baharu terhadap diplomasi Islam sebagai pendekatan kepimpinan yang berteraskan keimanan dan kesejahteraan sosial.