Kesedaran sejarah kepada masyarakat: Kajian terhadap penerbitan bahagian tawarikh dalam majalah guru (1924-1929)
Keywords:
Majalah Guru, Bahagian Tawarikh, kesedaran sejarah, Melayu-IslamAbstract
Kajian ini meneliti peranan Bahagian Tawarikh dalam Majalah Guru (1924–1929) sebagai medium untuk menyemai kesedaran sejarah dalam kalangan masyarakat Melayu. Latar kajian ini berpunca daripada keperluan untuk memahami bagaimana penulisan sejarah melalui majalah berperanan sebagai alat pendidikan tidak formal dalam kalangan guru dan pelajar Melayu pada awal abad ke-20. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan perpustakaan dan dokumentasi, dengan teknik analisis kandungan terhadap rencana sejarah yang disiarkan dalam Bahagian Tawarikh. Hasil kajian mendapati bahawa penulisan Za’ba dan penulis lain dalam ruangan ini memberi penekanan kepada tokoh Islam dan sejarah tempatan sebagai satu usaha memperkukuh jati diri bangsa. Penemuan ini membuktikan bahawa media cetak Melayu berperanan dalam membina kesedaran sejarah dan menyumbang kepada proses pembentukan pemikiran kolektif masyarakat Melayu. Kajian ini memberi implikasi penting terhadap peranan bahan terbitan sejarah dalam pembangunan kurikulum serta pembinaan naratif sejarah nasional.