Fiqh Al-Sirah dan fungsinya dalam penerapan pengajaran dan iktibar daripada Sirah Nabawiyah pada zaman moden
Keywords:
Fiqh al-Sirah, Fungsi Fiqh al-Sirah, Sirah Nabawiyah, pengajaran dan iktibar, aplikasi kontemporariAbstract
Bermula kurun ke-20 Masihi, satu istilah baru muncul dalam penulisan berkaitan Sirah Nabi S.A.W, iaitu Fiqh al-Sirah. Berbeza dengan penulisan sebelumnya, karya-karya yang menggunakan tema Fiqh al-Sirah dan yang seumpamanya banyak mengetengahkan elemen pengajaran, iktibar, hukum, dan sebagainya dalam membentangkan Sirah Nabawiyah dalam konteks semasa. Melihat kepada anjakan baru dalam penulisan yang terdapat dalam Fiqh al-Sirah, satu eksplorasi perlu dilakukan bagi menjelaskan hakikat ilmu ini. Justeru, kajian ini membincangkan definisi, konsep, corak penulisan dan fungsi Fiqh al-Sirah. Pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif dengan memfokuskan analisis kandungan teks bagi sumber-sumber berkaitan Fiqh al-Sirah. Data-data dikumpul dan dianalisis menggunakan kaedah induktif bagi mengenal pasti definisi, konsep, corak penulisan dan fungsi Fiqh al-Sirah dalam mengetengahkan pengajaran dan iktibar daripada Sirah Nabawiyah untuk diaplikasikan dalam dunia kontemporari. Dapatan kajian merumuskan bahawa Fiqh al-Sirah bukan sekadar kajian berkenaan sejarah Nabi S.A.W semata-mata, tetapi satu gagasan ilmu yang menekankan pemahaman secara mendalam terhadap prinsip-prinsip dan panduan praktikal dalam pelbagai aspek kehidupan. Terdapat tiga corak utama penulisan Fiqh al-Sirah iaitu analisis keseluruhan Sirah Nabawiyah, tematik dan perbandingan. Fiqh al-Sirah berfungsi sebagai medium mengangkat Nabi S.A.W sebagai ikutan manusia di zaman moden, mengetengahkan nilai-nilai tamadun, mengemukakan panduan menghadapi cabaran zaman kontemporari, memperjelas hakikat Islam dan menangkis serangan terhadapnya, serta mengangkat Sirah Nabi S.A.W sebagai rujukan dalam membina dasar dan polisi. Artikel ini menyumbang kepada pemahaman lebih luas terhadap relevansi Sirah Nabawiyah sebagai panduan hidup yang holistik di zaman moden.