Analisis deskriptif kutipan zakat dan tahap pembangunan manusia di Malaysia
Keywords:
Zakat, Kutipan, Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (IPRM), Pembangunan Manusia, Analisis DeskriptifAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis hubungan antara kutipan zakat dan tahap pembangunan rakyat di Malaysia berasaskan Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (IPRM) dengan menggunakan data sekunder yang diperoleh daripada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023. Analisis deskriptif dilakukan dengan mengkategorikan negeri kepada tiga kumpulan iaitu negeri berkutipan zakat tinggi, sederhana dan rendah berdasarkan kepada jumlah kutipan tahunan. Penilaian tahap pembangunan rakyat pula diukur menggunakan Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (IPRM) yang merangkumi dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup. Dapatan kajian menunjukkan bahawa negeri-negeri dengan kutipan zakat yang tinggi seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan mencatat nilai IPRM yang lebih stabil dan tinggi berbanding negeri yang mempunyai kutipan zakat yang rendah seperti Sabah dan Melaka. Walau bagaimanapun, terdapat juga negeri yang mencatat IPRM tinggi walaupun kutipan zakat adalah rendah dan ini menunjukkan terdapatnya faktor-faktor lain yang mempengaruhi tingkat pembangunan rakyat Malaysia. Kajian ini menyimpulkan bahawa terdapatnya hubungan yang positif antara kutipan zakat dan tahap pembangunan rakyat, namun hubungan ini turut dipengaruhi oleh konteks pentadbiran, sosioekonomi dan kecekapan agihan zakat di peringkat negeri. Kajian ini turut mencadangkan beberapa pendekatan kutipan dan agihan zakat untuk disesuaikan mengikut keperluan negeri serta disokong oleh tadbir urus yang cekap, serta impak yang lebih menyeluruh.