Teori pertukaran ekonomi Islam menurut M. Umer Chapra: Analisis konsep dan aplikasi syariah
Keywords:
Ekonomi Islam, M. Umer Chapra, Teori Pertukaran, Natural Certainty Contracts, Ayn dan Dayn, Fiqh Muamalat, Kepatuhan Syariah, Al-Bay‘, Al-Ijārah, Al-ṢarfAbstract
Makalah ini membincangkan secara mendalam teori pertukaran dalam kerangka ekonomi Islam berdasarkan pemikiran tokoh ekonomi Islam kontemporari terkemuka, M. Umer Chapra. Kajian ini menelusuri asas konseptual yang diketengahkan oleh beliau melalui kerangka Natural Certainty Contracts (NCC), iaitu bentuk kontrak yang berasaskan prinsip ketentuan, keadilan, dan integriti dalam pertukaran aset. Pendekatan Chapra mengklasifikasikan pertukaran kepada dua kategori utama iaitu pertukaran melibatkan aset sebenar (‘ayn) dan aset kewangan (dayn), dengan menekankan syarat-syarat transaksi yang sah menurut Syariah seperti sawaan bi sawain (sama kuantiti), mistlan bi mistlin (sama nilai dan kualiti), serta yadan bi yadin (serah terima secara langsung).Analisis ini turut mengupas kepentingan elemen-elemen seperti kejelasan kontrak, keadilan timbal balik, penghindaran unsur gharar (ketidaktentuan) dan riba (faedah), yang dilihat sebagai prinsip asas yang mesti dipatuhi dalam semua bentuk muamalat Islam. Melalui pendekatan induktif dan analisis dokumen, kajian ini mengesahkan bahawa teori Chapra bukan sahaja memberikan dimensi normatif berteraskan nilai-nilai Islam, tetapi juga menyediakan asas praktikal yang dapat diaplikasikan dalam pelbagai instrumen kewangan semasa seperti jual beli (al-bay‘), sewaan (al-ijārah), dan pertukaran mata wang (al-ṣarf). Dapatan kajian ini memperlihatkan bahawa pemikiran Chapra berupaya menjembatani jurang antara prinsip tradisional fiqh muamalat dengan keperluan sistem kewangan moden, menjadikannya satu model pertukaran yang relevan, berdaya tahan dan sesuai diaplikasikan dalam konteks ekonomi global kontemporari. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada wacana ilmiah mengenai pembangunan teori ekonomi Islam dan memperkukuh lagi asas Syariah dalam perancangan sistem kewangan Islam yang inklusif dan lestari.