Analisis Teknik Kumpulan Nominal (NGT) terhadap penilaian kebolehgunaan model pengajaran Hifz Al-Quran dalam kurikulum bersepadu tahfiz
Keywords:
Model pengajaran, Hifz al-Quran, kebolehgunaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz, penilaian pakar, teknik NGTAbstract
Pendidikan tahfiz memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan Muslim yang seimbang dari segi rohani dan intelektual. Pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan langkah strategik dalam mengintegrasikan hafazan al-Quran dengan pendidikan arus perdana. Namun, pendekatan pengajaran hafazan yang masih bersifat tradisional dan tidak berasaskan teori pembelajaran moden menimbulkan cabaran dalam pelaksanaan KBT, khususnya dari aspek pedagogi dan penilaian keberkesanan PdP. Jurang ini menunjukkan keperluan terhadap pembangunan model pengajaran tahfiz yang sistematik dan kontemporari bagi menyokong pelaksanaan kurikulum secara lebih berkesan perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu, penilaian kebolehgunaan model pengajaran Hifz al-Quran dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di Malaysia perlu dilakukan penyelidikan saintifik. Penilaian dilakukan melalui pendekatan Teknik Kumpulan Nominal (NGT) yang melibatkan 27 orang guru pakar daripada Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA). Instrumen soal selidik digunakan bagi menilai sepuluh konstruk utama model termasuk matlamat, objektif, pendekatan, strategi, kaedah, teknik, aktiviti, bahan bantu, penilaian dan nilai murni. Dapatan menunjukkan bahawa semua konstruk melepasi tahap kesepakatan minimum 70%, dengan skor tertinggi diperoleh pada konstruk Penerapan Nilai Murni (96.3%) dan skor terendah pada konstruk Alat/Bahan Bantu Mengajar (88.3%). Penemuan ini membuktikan kebolehgunaan tinggi model tersebut dan menyarankan beberapa penambahbaikan khusus. Kajian ini menyumbang kepada penghasilan model pengajaran Hifz al-Quran yang sistematik, relevan dan boleh diaplikasi secara meluas sejajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21.