Tafakkur alam sebagai ekoterapi nabawi: Analisis berdasarkan tradisi kenabian
Keywords:
ekoterapi, mindfullness, kesihatan mental, tafakkur alam, hadithAbstract
Kesedaran terhadap potensi mindfullness terhadap alam sebagai instrumen terapi
mental semakin berkembang dalam bidang psikologi moden melalui pendekatan ekoterapi.
Walaupun konsep ini banyak dipelopori oleh pendekatan barat, tradisi Islam sebenarnya telah
lama menekankan renungan terhadap ciptaan Allah melalui konsep tafakkur alam. Namun
begitu, aspek ini masih kurang diterokai dalam kerangka Islam, khususnya melalui analisis
hadith-hadith Nabi Muhammad SAW. Meskipun terdapat sejumlah hadith sahih yang
menganjurkan tafakkur terhadap alam, kebanyakan kajian terdahulu lebih menumpukan
kepada aspek keimanan atau keajaiban ciptaan, tanpa menyelami potensi psikospiritual dan
kesan terapeutik yang tersirat dalam amalan tersebut. Kajian ini bertujuan untuk mengisi
jurang tersebut dengan menganalisis amalan tafakkur alam dalam tradisi kenabian sebagai
bentuk ekoterapi Nabawi. Melalui pendekatan kualitatif berbentuk analisis kandungan, kajian
ini menghimpunkan hadith-hadith berkaitan dan mentafsirkannya menggunakan kerangka fiqh
al-hadīth. Hasil kajian menunjukkan bahawa tafakkur alam yang diamalkan oleh Nabi SAW
bukan sahaja berfungsi sebagai pengukuhan iman, malah berperanan sebagai mekanisme
terapi jiwa yang mampu mengurangkan keresahan, membangkitkan ketenangan batin, dan
memperdalam hubungan spiritual dengan Pencipta. Kajian ini mencadangkan agar
pendekatan tafakkur alam berasaskan hadith dapat diarusperdanakan sebagai alternatif
Islamik dalam usaha penjagaan kesihatan mental secara holistik.