Pembelajaran akses kendiri sebagai pemangkin kejayaan pelajar dalam subjek Al-Syariah kurikulum bersepadu dini: Satu sorotan literatur
Keywords:
Pembelajaran akses kendiri, Al-Syariah Kurikulum Bersepadu Dini, kejayaan pelajarAbstract
Pembelajaran akses kendiri merupakan pendekatan yang semakin mendapat perhatian dalam dunia pendidikan kerana keupayaannya dalam membentuk pelajar yang lebih berdikari dan bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran mereka sendiri. Namun, kebelakangan ini, isu kegagalan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Al-Syariah Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) semakin membimbangkan, menunjukkan keperluan untuk menilai keberkesanan kaedah pembelajaran sedia ada. Kajian ini meneliti peranan pembelajaran akses kendiri sebagai pemangkin kejayaan pelajar dalam subjek Al-Syariah KBD. Melalui sorotan literatur, kajian ini membincangkan keberkesanan pendekatan ini dari segi pedagogi, motivasi pelajar, penggunaan teknologi, serta cabaran dalam pelaksanaannya. Dapatan menunjukkan bahawa pembelajaran akses kendiri dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap ilmu Syariah dan menggalakkan pemikiran kritis serta sikap bertanggungjawab dalam pembelajaran. Walau bagaimanapun, cabaran seperti tahap disiplin pelajar yang berbeza, akses kepada teknologi, dan peranan guru sebagai fasilitator perlu diberi perhatian bagi memastikan keberkesanan pendekatan ini. Oleh itu, penyediaan modul pembelajaran yang lebih sistematik, sokongan teknologi yang lebih baik, dan bimbingan guru yang berkesan adalah antara cadangan yang dapat memperkukuhkan pelaksanaan pembelajaran akses kendiri dalam subjek Al-Syariah, seterusnya membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam SPM.