Literasi kewangan dan gelagat perbelanjaan guru: Kajian di Sekolah Zakat Kedah
Keywords:
Literasi Kewangan, Gelagat Perbelanjaan, Guru, Sekolah Zakat KedahAbstract
Kajian ini menilai tahap literasi kewangan dan impaknya terhadap gelagat perbelanjaan dalam kalangan guru di Sekolah Zakat Kedah (SZK). Literasi kewangan diukur melalui empat dimensi utama iaitu pengetahuan kewangan, tingkah laku pengurusan kewangan, pengalaman kewangan, serta kefahaman konsep keperluan dan kehendak. Data dikumpul menggunakan soal selidik yang diedarkan kepada 35 orang guru dari dua sekolah zakat terpilih di Kedah. Analisis statistik deskriptif dan inferensi (korelasi Pearson, ANOVA dan regresi linear) digunakan bagi mengenal pasti hubungan antara literasi kewangan dan gelagat perbelanjaan guru. Hasil kajian mendapati tahap literasi kewangan guru secara keseluruhan adalah sederhana ke arah tinggi, khususnya dalam aspek pengetahuan asas dan kefahaman konsep keperluan. Analisis lanjut menunjukkan terdapat hubungan positif yang signifikan antara tingkah laku pengurusan kewangan, pengalaman kewangan, dan kefahaman keperluan dengan gelagat perbelanjaan guru. Namun, pengetahuan kewangan dan kefahaman kehendak tidak menunjukkan hubungan yang signifikan. Faktor demografi seperti umur, jantina, status perkahwinan dan pendapatan isi rumah didapati tidak mempengaruhi secara signifikan gelagat perbelanjaan guru. Dapatan ini memberi implikasi penting kepada pengurusan sekolah dan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk memperkasakan latihan literasi kewangan secara praktikal dan berterusan bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan guru. Kajian ini turut mencadangkan agar program pembangunan profesional guru turut merangkumi elemen literasi kewangan yang lebih inklusif dan bersasar