Tamthiliyyat pelaku pembangunan dalam al-Qur’an: Analisis Ayat-ayat berkaitan golongan ingkar
Keywords:
tamthiliyyat, pelaku pembangunan, golongan ingkarAbstract
Tamthiliyyat (perumpamaan) merupakan salah satu uslub al-Qur’an. Ia merupakan satu perbandingan dengan perkara lain untuk mencapai maksud yang tersendiri. Tamthiliyyat juga berfungsi sebagai panduan dan peringatan untuk manusia mengambil pengajaran. Selain itu, al-Qur’an juga banyak memperihalkan berkaitan manusia dalam bentuk tamthiliyyat. Manusia sebagai pelaku pembangunan yang berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT amat penting untuk meneliti pengajaran yang terkandung dalam al-Qur’an. Peranan pelaku pembangunan amat penting untuk memiliki perwatakan yang terbaik dalam mengurus dan mentadbir aktiviti pembangunan. Terdapat beberapa isu yang melibatkan sikap manusia seperti pembaziran sumber alam, pecah amanah dan sebagainya. Ia berpunca daripada tidak menghayati dan memiliki perwatakan yang baik seperti dianjurkan oleh al-Qur’an. Berdasarkan isu tersebut, kertas kerja ini bertujuan mengkaji tamthiliyyat al-Qur’an berkaitan manusia dalam ketegori golongan yang ingkar. Kertas kerja ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, mengenal pasti konsep tamthiliyyat al-Qur’an berkaitan manusia yang ingkar; dan kedua, menganalisis tamthiliyyat yang dikenal pasti itu. Bagi memastikan tujuan ini tercapai, kertas kerja ini menggunakan kaedah al-mawdu’iy dalam menganalisis ayat-ayat al-Qur’an yang terpilih. Hasil dapatan kajian memperihalkan manusia ingkar ini disamakan dengan haiwan ternakan, kera, anjing, labah-labah dan sebagainya.