Pendekatan teori identiti budaya dalam kajian pembentukan identiti mualaf Cina di Malaysia
Keywords:
Identiti, Mualaf, Cina, Budaya, Agama, EtnikAbstract
Kajian ini meneliti pembentukan identiti mualaf Cina di Malaysia dengan menumpukan kepada cabaran yang dihadapi serta strategi penyesuaian identiti dalam konteks masyarakat majmuk. Menggunakan Teori Identiti Budaya dan konsep “ruang ketiga” oleh Stuart Hall dan Homi Bhabha, kajian ini menganalisis bagaimana mualaf Cina membentuk identiti pasca-konversi yang kompleks dalam pelbagai dimensi. Peralihan agama daripada Buddha, Taoisme atau kepercayaan tradisional kepada Islam bukan sahaja melibatkan perubahan kepercayaan, tetapi turut menyentuh aspek etnik, budaya, dan hubungan sosial. Mualaf Cina sering berada dalam kedudukan marginal di antara komuniti asal dan komuniti Baharu; dan perlu menavigasi pelbagai sempadan identiti agama, etnik dan budaya.Berdasarkan pendekatan kualitatif, kajian ini menunjukkan bahawa mualaf Cina tidak sepenuhnya terasimilasi ke dalam budaya Melayu, tetapi membina identiti hibrid yang unik. Mereka mengekalkan unsur kecinaan seperti bahasa, nama keluarga, dan penyertaan dalam perayaan budaya selagi tidak bercanggah dengan akidah Islam. Pada masa yang sama, mereka turut menyesuaikan diri dengan norma Muslim seperti pemakaian, pemakanan dan penglibatan dalam institusi keagamaan. Kajian ini menyumbang kepada pemahaman baharu tentang identiti pasca-konversi dan memperlihatkan peranan mualaf Cina sebagai jambatan sosial dan budaya antara komuniti Muslim dan bukan Muslim di Malaysia